Manfaat Penyertaan


SKIM EX-GRATIA - BENCANA KERJA BAGI PENJAWAT AWAM PERSEKUTUAN

1.

Apakah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja Bagi Anggota Perkhidmatan Awam?
Skim Ex-Gratia Bencana Kerja adalah skim yang memberi pampasan kepada Anggota Perkhidmatan Awam yang ditimpa bencana kerja semasa menjalankan tugas rasmi hingga menyebabkan hilang upaya kekal atau kematian termasuk yang teraniaya disebabkan perbuatan balas dendam akibat daripada tindakan semasa menjalankan tugas rasmi.

2.

Apakah tujuan skim ini diwujudkan?
Skim diwujudkan bertujuan menjaga kebajikan Anggota Perkhidmatan Awam dan orang tanggungan sekiranya terjadi sesuatu bencana semasa pegawai melaksanakan tugas rasmi memandangkan Anggota Perkhidmatan Awam dikecualikan daripada mencarum kepada skim yang ditubuhkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969.

3.

Apakah yang dimaksudkan dengan Bencana Kerja?
Bencana Kerja adalah bencana yang dialami oleh seseorang pegawai yang disebabkan oleh kemalangan semasa menjalankan tugas rasmi atau suatu penyakit khidmat.

4.

Apakah yang dimaksudkan dengan tugas rasmi?
Tugas yang berkaitan dengan jawatan pegawai dan termasuk menghadiri kursus yang dibenarkan oleh Ketua Jabatan.

5.

Apakah yang dimaksudkan dengan tempat bertugas?
Tempat bertugas bermaksud mana-mana tempat yang diarahkan oleh Ketua Jabatan untuk menjalankan tugas rasmi.

6.

Apakah pegawai dilindungi sepanjang masa oleh Skim Ex-Gratia Bencana Kerja?
Tidak. Pegawai dilindungi dalam tempoh masa berikut:-
semasa dalam perjalanan pergi dan balik bertugas dari rumah ke tempat bertugas;
semasa perjalanan pergi dan balik dari tempat bertugas ke tempat kediaman pada waktu makan yang diluluskan; dan sepanjang masa semasa bertugas rasmi.

7.

Semasa menjalankan tugas rasmi di luar pejabat, adakah pegawai diliputi oleh skim ini sepanjang masa?
Skim ini meliputi pegawai sepanjang masa menjalankan tugas rasmi selagi aktiviti yang dijalankan semasa bencana berlaku adalah berkaitan dengan tugas rasmi dan bukannya urusan peribadi.

8.

Bilakah skim ini mula berkuat kuasa?
Skim ini berkuat kuasa mulai 20 Oktober 1994 melalui Pekeliling Perbendaharaan Bil. 13 Tahun 1994 dan penambahbaikan melalui Pekeliling Perbendaharaan Bil. 7 Tahun 2001 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2001.

9.

Siapakah yang diliputi di bawah skim ini?
Semua anggota lantikan tetap, kontrak (contract of service) dan sementara Perkhidmatan Awam Persekutuan.

10.

Adakah pegawai kontrak bukan warganegara juga turut dilindungi di bawah skim ini?
Tidak, kerana skim ini hanyalah bagi warganegara Malaysia sahaja.  Pegawai kontrak bukan warganegara tertakluk kepada syarat-syarat perjanjian kontrak masing-masing.

11.

Apakah faedah pampasan yang disediakan di bawah skim ini?
Bayaran Ex-Gratia Pukal, Ex-Gratia Bulanan, Elaun Layanan Sentiasa dan Ex-Gratia Orang Tangungan Bulanan.

12.


Apakah yang dimaksudkan dengan Ex-Gratia Pukal?
Ex-Gratia Pukal adalah bayaran sekali gus.

13.

Adakah anggota Perkhidmatan Awam Lantikan Negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan diliputi di bawah skim ini?
Anggota Perkhidmatan Awam lantikan Perkhidmatan Negeri, Badan Berkanun Persekutuan/Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan diliputi oleh Skim ini dengan syarat skim ini diterima pakai oleh pihak berkuasa masing-masing.

14.

Bagaimana Perkhidmatan Awam Negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan menerima pakai skim ini?
Dengan mengemukakan kepada Pihak Berkuasa/Lembaga Pengarah masing-masing.

15.

Bolehkah Panel Perubatan ditubuhkan di hospital/klinik swasta?
Tidak, Panel Perubatan hendaklah ditubuhkan di hospital Kerajaan.

16.

Perlukah pegawai Kerajaan mencarum kepada skim ini?
Tidak perlu.

17.

Sekiranya pegawai mempunyai lebih dari seorang isteri, adakah perjalanan lazim mengambil kira perjalanan dari rumah isteri-isterinya?
Ya. Dengan syarat perkahwinan tersebut didaftarkan.

18.

Adakah pegawai yang telah diberi kebenaran untuk pulang awal ke rumahnya dari waktu bertugas biasa menemui kemalangan diliputi di bawah skim ini?
Ya.

19.

Sekiranya pegawai mendapat kebenaran keluar pejabat atas urusan peribadi dan mendapat kemalangan dalam perjalanan, adakah beliau dilindungi oleh Skim?
Tidak.

20.

Adakah pegawai yang mengalami kemalangan jalan raya dalam perjalanan dari tempat bukan rumahnya ke tempat bertugas layak mendapat bayaran di bawah skim ini?
Pegawai tidak layak mendapat bayaran di bawah skim ini kerana perjalanan hendaklah bermula dari rumahnya sendiri dan tidak dari lain-lain tempat.

21.

Apakah syarat yang melayakkan seseorang pegawai membuat tuntutan?
Syarat yang melayakkan seseorang pegawai mengemukakan tuntutan ialah apabila ia mendapat kecederaan ke tahap hilang upaya kekal atau kematian semasa menjalankan tugas rasmi.

22.

Bagaimanakah pegawai membuat tuntutan?
Pegawai atau waris hendaklah mengisi Bahagian ‘A’ iaitu borang BTX. Borang ini boleh diperolehi melalui laman web Perbendaharaan (www.treasury.gov.my) di dalam Panduan Skim Bayaran Ex-Gratia Bagi Anggota Perkhidmatan Awam di bawah Pekeliling Perbendaharaan Bil. 7 Tahun 2001. Borang yang lengkap hendaklah dikemukakan kepada Ketua Jabatan.

23.

Apakah tindakan yang perlu diambil oleh Ketua Jabatan setelah menerima permohonan?
Ketua Jabatan hendaklah menyiasat dan menyediakan laporan mengenai bencana tersebut serta mengisi Bahagian ‘B’ borang permohonan. Seterusnya kemukakan borang tersebut beserta dokumen-dokumen yang diperlukan ke Kementerian masing-masing.

24.

Apakah dokumen-dokumen yang perlu disertakan oleh Ketua Jabatan?
Salinan senarai tugas, arahan bertugas, kad perakam waktu/daftar bertugas, lakaran kasar laluan yang menunjukkan tempat kemalangan jalan raya (bagi kes kemalangan jalan raya), laporan polis, laporan penyiasatan polis, salinan kenyataan perkhidmatan pegawai dan dokumen lain yang berkaitan. Kesemua salinan hendaklah disahkan sebagai salinan yang benar.

25.

Adakah pegawai layak menuntut sekiranya kemalangan berlaku di rumah?
Tidak.  Kemalangan di rumah tiada kaitan dengan tugas rasmi.

26.

Adakah pegawai yang mengalami kemalangan jalan raya dalam perjalanan dari rumah ke tempat bertugas tetapi menggunakan jalan di luar perjalanan lazim layak mendapat bayaran di bawah skim ini?
Perjalanan dari rumah ke tempat bertugas dan sebaliknya mestilah melalui laluan lazim dengan tiada apa-apa lencongan ataupun pemberhentian yang bersifat peribadi.  Walau bagaimanapun, jika terdapat lebih daripada satu laluan lazim, ia boleh dipertimbangkan tertakluk kepada syarat jarak perjalanan yang munasabah dari rumah ke tempat bertugas dan sebaliknya

27.

Adakah pegawai layak menuntut sekiranya kemalangan berlaku di luar waktu pejabat dan beliau tidak menjalankan tugas rasmi pada waktu itu?
Pegawai tidak layak membuat tuntutan sekiranya kemalangan berlaku di luar waktu pejabat dan pegawai tidak melakukan tugas rasmi.

28.

Apakah yang dimaksudkan dengan gaji?
Gaji di bawah skim ini bermaksud gaji pokok yang layak diterima oleh pegawai pada masa kejadian.

29.

Apakah elaun-elaun yang diambil kira untuk menghitung bayaran?
Imbuhan Tetap Khidmat Awam, Imbuhan Tetap Keraian dan Imbuhan Tetap Perumahan.

30.

Apakah tanggungjawab seorang penerima bayaran di bawah skim ini?
Penerima bayaran hendaklah memaklumkan kepada Perbendaharaan ataupun Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam sekiranya hilang kelayakan atau sebarang perubahan dan pertukaran alamat.

31.

Bilakah tarikh bayaran berkuatkuasa?
Bayaran berkuat kuasa sehari selepas kematian bagi kes kematian. Bagi kes hilang upaya kekal, bayaran berkuatkuasa pada hari pegawai ditimpa bencana.

32.

Adakah pegawai atau waris yang menerima faedah persaraan di bawah Undang-undang Pencen layak menerima bayaran di bawah skim ini?
Ya. Skim ini adalah kemudahan yang berasingan daripada faedah persaraan di bawah undang-undang pencen.

33.

Siapakah yang boleh dihubungi untuk mendapatkan penjelasan/maklumat tambahan berhubung skim ini?
Pegawai di Seksyen Dasar Saraan, Bahagian Dasar Saraan, Wang Awam dan Khidmat Pengurusan, Kementerian Kewangan.

No comments:

Post a Comment